Desa, Pekan, Kampung
Desa, Pekan, Pusat Pertumbuhan Desa (PPD) dan Kampung adalah kawasan yang dirangkumi dalam Dasar Perancangan Fizikal Desa Negara (DPF Desa Negara 2030), iaitu dasar pembangunan desa yang pertama di Malaysia berbentuk spatial. DPF Desa Negara 2030 juga disediakan selaras dengan Pelan Indikatif di dalam Rancangan Fizikal Negara Ke-2 yang menyatakan keperluan terhadap sebuah dasar pembangunan desa negara. Bagi memudahkan pemahaman ke atas dasar dan pelaksanaannya dalam perancangan spatial, eloklah memahami tafsiran kawasan yang dirangkumi dahulu.
Berikut merupakan tafsiran Desa, Pekan, PPD dan Kampung.
(i) Desa -
Kawasan selain daripada kawasan bandar, terdiri daripada semua jenis petempatan kampung, pekan dan petempatan kecil lain yang kurang daripada 10,000 penduduk, bercirikan pertanian serta kaya dengan sumber alam semula jadi.
(ii) Pekan -
Sebuah petempatan kecil bercirikan bandar yang terletak di kawasan luar bandar dengan jumlah penduduk kurang daripada 10,000 orang dan menempatkan aktiviti perdagangan berskala kecil, kemudahan awam dan mempunyai aktiviti mingguan (pasar pagi / tani, pasar sehari atau pasar malam).
(iii) PPD -
Pusat pertumbuhan desa merangkumi beberapa buah kampung yang terletak secara berkelompok dengan tampungan penduduk kurang 2,500 orang.
(iv) Kampung -
Sebuah petempatan tradisi di kawasan desa dan mempunyai ciri-ciri tradisional yang tinggi dari segi sosio budaya dan fizikal. Ia dibahagikan kepada lapan (đ kategori, iaitu :-
(1) Kampung Tradisional
(a) Wujud secara tidak dirancang atau organik.
(b) Kampung tradisional di bandar menampung bilangan penduduk yang tinggi dan majoriti terlibat dengan aktiviti perbandaran. Keadaan fizikal kampung kurang teratur dan sesak.
(c) Kampung tradisional di desa berdensiti rendah. Taburan petempatan dipengaruhi oleh aktiviti ekonomi setempat seperti pertanian, perlombongan dan sebagainya. Corak adalah berjajar atau berkelompok.
(d) Kampung tradisional juga boleh terdapat di pulau-pulau.
(e) Majoriti penduduk di kampung tradisional adalah terdiri daripada kaum Melayu dan Cina.
(2) Kampung Nelayan
(a) Petempatan kampung yang terletak di kuala atau sepanjang sungai, di tepi-tepi pantai dan di pulau-pulau.
(b) Majoriti penduduk adalah kaum Melayu dan Cina.
(c) Pekerjaan adalah menangkap ikan, membuat perahu dan menjalankan aktiviti berasaskan hasil laut dan sungai.
(d) Corak fizikal perkampungan nelayan dipengaruhi oleh faktor semula jadi seperti sungai, muara dan pantai.
(e) Keadaan kampung adalah padat.
(3) Kampung Tersusun
(a) Kampung yang dirancang berasaskan beberapa sebab seperti penempatan semula kampung, pemberian tanah dan bencana alam.
(b) Susun atur kampung yang tersusun.
(c) Densiti rendah dan sederhana.
(d) Penduduk terlibat dalam pelbagai aktiviti ekonomi.
(4) Kampung Atas Air
(a) Terletak di atas air sama ada di sungai, tasik atau laut dan rumah-rumah dibina secara bertiang di atas air.
(b) Dihubung oleh jeti atau jambatan kayu.
(c) Pelbagai densiti mengikut lokasi.
(d) Majoriti penduduk adalah kaum Melayu dan Cina.
(e) Pekerjaan adalah menangkap ikan, membuat perahu dan menjalankan aktiviti berasaskan hasil laut dan sungai.
(5) Kampung Orang Asli
(a) Merupakan petempatan yang wujud secara tidak terancang dan mempunyai identiti tersendiri.
(b) Kebiasaanya jauh di kawasan pedalaman dan berdekatan sungai.
(c) Corak petempatan adalah berselerak mengikut suku kaum.
(d) Aktiviti pekerjaan sara diri seperti pertanian, mencari hasil hutan, memburu dan menangkap ikan.
(6) Petempatan Tanah Rancangan FELDA / FELCRA / RISDA
(a) Petempatan kampung terancang berikutan dari pembangunan tanah secara besar-besaran.
(b) Majoriti penduduk adalah kaum Melayu.
(c) Konsep asas adalah untuk mewujudkan suatu petempatan yang âself-containedâ bertujuan membasmi kemiskinan dan memberi hak milik tanah di kalangan penduduk di kawasan desa.
(d) Corak petempatan berbentuk berpusat (concentrated) atau berkelompok.
(e) Kepadatan penduduk sederhana tinggi.
(7) Kampung Baru
(a) Merupakan petempatan kampung yang wujud pada masa darurat (1948 - 1960) bagi mengatasi masalah ancaman komunis.
(b) Penduduk kaum Cina.
(c) Terletak di ladang-ladang getah, kawasan perlombongan bijih timah dan di sekitar bandar-bandar sedia ada.
(d) Corak petempatan adalah berpusat dan berbentuk `grid ironâ.
(8) Perumahan Ladang
(a) Rumah pekerja ladang yang disediakan oleh majikan pengurusan ladang.
(b) Corak petempatan berkelompok.
(c) Majoriti penduduk kaum India.
(d) Aktiviti utama sebagai peladang kelapa sawit dan getah.
Anda dah jelas? Fahami tafsirannya dahulu dan jumpa lagi selepas ini dalam memahami DPF Desa Negara 2030 secara lebih mendalam.
.Disediakan oleh : Bahagian Korporat PLANMalaysia